Ada yang bertanya… kalau gaji saya RM3,000 berapa yang layak saya pinjam..? ada yang tanya kalau gaji saya RM5,000? Berapa harga rumah yang boleh saya beli..? Dan beberapa lagi pertanyaan yang hampir serupa.
Berapa Gaji KASAR anda (atau pendapatan bersama pasangan anda)? Katakan: RM8,000
Tolak (-) : Pembayaran tetap lain dari gaji anda seperti EPF, SOCSO, Income Tax, DLL.
Katakan: RM2,500
Sekarang, kira berapakan pembayaran komitmen (pinjaman) anda setiap bulan seperti bayaran kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, dsb. Senang cakap yang ada rekod CCRIS.. (So kalau ada yg pinjam pada Ah Long tu kira tak masuk sini la.. tapi jangan cuba2 pinjam Ah Long ye.. :-)
Katakan: RM3,000
Oleh itu, Gaji Bersih adalah:
Gaji BERSIH: RM8,000 – RM2,500 – RM3,000 = RM2,500
Sekarang berdasarkan Gaji bersih inilah baru ditentukan berapa pinjaman yang boleh anda pohon atau berapa harga rumah yang boleh anda beli.
Bermula Januari 2012 lepas pengiraan berdasark gaji bersih ini menggunakan apa yang dipanggil sebagai Debt Ratio/Debt Service Ratio/Debt Burden Ratio (DR) atau Nisbah Tanggungan Hutang anda. Dalam bahasa mudah faham, berapa peratus yang akan bank benarkan anda pinjam berdasarkan baki bulanan di atas (dalam kes ni RM2,500).
Nisbah ini adalah berbeza mengikut bank. Dari apa yang saya tahu adalah sekitar 70%-80% dan sesetengahnya memberikan lebih tinggi. Oleh itu untuk contoh pengiraan ini saya gunakan 2 contoh pengiraan iaitu 70% dan 80%.
- DR = 70%: maka komitmen maks bulanan yang dibenarkan adalah RM2,500 x 70% = RM1,750 sebulan
- DR = 80% : maka komitmen maks bulanan yang dibenarkan adalah RM2,500 x 80% = RM2,000 sebulan
Oleh itu berdasarkan kedua-dua contoh di atas, maka secara kasarnya jumlah pinjaman yang boleh anda pinjam, berdasarkan kadar pinjaman asas (BLR) semasa pada 6.6% untuk tempoh 30 tahun adalah:
- Jika komitment dibenarkan; RM1,750 – Jumlah pinjaman yg boleh dipohon: ~RM274,000
- Jika komitment dibenarkan; RM2,000 – Jumlah pinjaman yg boleh dipohon: ~RM313,000
Berapa harga rumah yang boleh anda beli?
Dengan andaian anda boleh memohon sehingga 90% dari harga rumah, maka cara mudah untuk anda kira adalah:
(Jumlah Pinjaman Yg Layak x 100) / 90
Dalam kes di atas:
- Pinjaman Yg Layak RM274,000, maka Harga rumah yang boleh dibeli : (274,000*100)/90 = ~RM304,000
- Pinjaman Yg Layak RM313,000, maka Harga rumah yang boleh dibeli : (313,000*100)/90 = ~RM348,000
Semoga sedikit penjelasan di atas membantu mereka yang masih tidak jelas. Saya harap selepas ini kepada sesiapa yang merancang untuk membeli rumah untuk membuat pengiraan ini terlebih dahulu supaya anda tidak terlebih bajet dan berisiko kehilangan deposit anda.
Bagi mereka yang baru bekerja atau mempunyai komitment pinjaman yang sangat rendah, kemungkinan had pinjaman perumahan anda sehingga ~40% daripada gaji anda sahaja walaupun anda boleh mendapatkan pinjaman yang lebih tinggi berdasarkan pengiraan di atas.
Ini bermaksud jika gaji anda adalah RM3,000 sebulan tetapi berdasarkan contoh pengiraan di atas anda layak meminjam dengan bayaran bulanan sehingga RM2,000, had pinjaman anda mungkin dihadkan kepada bayaran bulanan maksimum RM1,200 sahaja. Ini adalah antara faktor-faktor lain yang dipertimbangkan oleh bank selain rekod CCRIS dan CTOS yang baik.
Nota Penting: Ingin dinyatakan bahawa panduan ini adalah panduan umum sahaja dan saya menjemput mereka yang arif dari bank dan sebagainya untuk membetulkan mana yang silap dan memberikan versi pengiraan untuk bank yang anda ketahui sebagai panduan semua. Terima Kasih.
Sumber: TipsHartanah.com
==========================================================
**Ingin mencari hartanah/rumah lelong idaman?? Sila daftarkan diri dengan mengisi borang pencarian hartanah/rumah lelong disini.