Mungkin anda selalu mendengar mengenai rakan-rakan anda yang berjaya memiliki rumah lelong pada harga tidak masuk akal. Harga rumah murah ini kadang-kadang menjadi satu ikutan dan akan bosan bila terlalu banyak spekulasi dari pembida atau sindiket – sindiket rumah lelong.
Disini anda akan dikongsikan bagaimana bank melelong sesuatu hartanah. Setiap lelongan yang pernah diadakan, jika sesebuah rumah itu tidak dapat dilelong pada tarikh tertentu, pada tarikh lelongan akan datang, harga rumah lelong itu akan di turunkan sebanyak 5% atau 10% berdasarkan pada harga rizab yang diisytiharkan sebelumnya.
Kesemua bank di Malaysia mempunyai prosedur tertentu dan syarat-syarat yang ketat sebelum mengisytiharkan hartanah untuk di lelong. Ada beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh pihak pengurusan bank seperti menghantar surat peringatan pertama pada tuan rumah (peminjam).
Pada bulan kedua pula, pihak bank akan sekali lagi menghantar notis susulan dengan peringatan akhir agar tuan rumah (peminjam) segera membuat bayaran ansuran pinjaman rumah tersebut. Pada bulan ketiga dan keempat; pihak bank akan menghantar surat kuasa dari peguam untuk menyuruh tuan rumah (peminjam) membayar semua baki tunggakkan dalam masa 14 hari.
Selepas tarikh yang ditetapkan, pihak bank akan sekali lagi menghantar surat kuasa penarikan balik kemudahan dari pihak peguam, dan sekali lagi menuntut anda membayar segala baki tertunggak termasuk keseluruhan jumlah pinjaman dalam tempoh maksima 14 hari.
Kebiasaannya jika tuan rumah (peminjam) tidak dapat membayar ansuran rumah didalam masa tiga bulan berturut-turut secara rasminya Bank Negara menetapkan yang tuan rumah (peminjam) adalah sebagai hutang tidak berbayar (NPL). Setelah sampai tempoh lima bulan, dan anda masih tidak membuat sebarang bayaran, notis akan dikeluarkan oleh pihak bank mengenai kemungkiran suatu gadaian (borang 16D) keatas tuan rumah (peminjam).
Apabila sudah masuk pada bulan keenam dan ketujuh, anda tuan rumah (peminjam) dipanggil ke mahkamah. Prosiding mahkamah ini bergantung pada jenis geran hartanah, peguam dari pihak bank pula cepat-cepat memohon untuk memperolehi arahan jualan dari pihak mahkamah, selain itu mereka juga sibuk untuk melantik pelelong, dan menetapkan tarikh lelongan dan juga harga rizab mengikut baki pinjaman semasa tuan rumah (peminjam) sebagai peminjam.
Kebiasaan disini, bank akan melantik penilai hartanah untuk mendapatkan harga rizab lelong berdasarkan harga pasaran yang dibuat oleh penilai hartanah lelong. Segala proses ini memakan masa dalam tempoh tujuh hingga lapan sebelum rumah peminjam disytiharkan sebagai rumah lelong.
P/S: Jika anda adalah peminjam, sentiasa memastikan bayaran ansuran pinjaman perumahan anda berjalan dengan lancar agar rumah anda tidak dilelong.
==========================================================